“Semalam (10 September) sebelum ulang tahun 9/11, sebuah keluarga di Beit Lahia, utara Gaza, kehilangan empat anggotanya dalam satu serangan udara.”
GAZA | 11 SEPTEMBER 2026 — Ketika Amerika Syarikat memperingati ulang tahun ke-25 serangan 11 September 2001 yang mengorbankan 2,977 orang, keadaan di Semenanjung Gaza masih dilaporkan tegang dengan serangan dan kematian terus berlaku walaupun gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak Oktober 2025.
Dalam perkembangan terbaharu, empat anggota sebuah keluarga termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia lapan dan 12 tahun terbunuh selepas kediaman mereka di Beit Lahia, utara Gaza, diserang pada awal pagi 10 September.
Serangan tersebut turut mengorbankan ibu dan bapa kepada kedua-dua kanak-kanak berkenaan. Kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Al-Shifa.
Serangan turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan lain termasuk Jabalia dan sekitar Khan Yunis, dengan bedilan serta tembakan dilaporkan mengenai kawasan penempatan penduduk.
LEBIH 1,300 TERBUNUH SEJAK GENCATAN SENJATA
Menurut data pihak berkuasa kesihatan Gaza yang dipetik Reuters, lebih 1,300 rakyat Palestin telah terbunuh sejak gencatan senjata bermula pada Oktober 2025.
Angka keseluruhan korban sejak Oktober 2023 pula telah mencecah 73,670 orang, dengan lebih 174,000 lagi cedera.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza turut memaklumkan bahawa sebahagian mangsa masih dipercayai berada di bawah runtuhan bangunan yang musnah dan tidak dapat dikeluarkan kerana kekangan operasi menyelamat.
HOSPITAL BERDEPAN KEKANGAN BAHAN API
Dalam masa sama, hospital di Gaza berdepan masalah mendapatkan bahan api dan alat ganti bagi memastikan generator terus beroperasi.
Di Hospital Nasser, sebahagian generator dilaporkan mengalami kerosakan, manakala generator yang masih berfungsi perlu digunakan melebihi jadual operasi biasa.
Keadaan sama turut memberi kesan kepada Hospital Al-Ahli Arab apabila gangguan pada generator utama menyebabkan beberapa perkhidmatan perubatan, termasuk pengimejan dan prosedur pembedahan, terjejas.
Kekurangan bahan api menjadi antara cabaran utama kepada operasi hospital yang masih merawat pesakit akibat serangan dan kecederaan perang.
25 TAHUN SELEPAS 9/11
Pada 11 September 2001, World Trade Center “diserang”
Serangan tersebut mengorbankan 2,977 orang.
Hari ini Amerika Syarikat mengadakan pelbagai acara memperingati mangsa sempena ulang tahun ke-25 tragedi berkenaan.
Dalam tempoh yang sama, Gaza masih berdepan kehilangan nyawa akibat konflik yang berlarutan.
Perkembangan terbaharu di Beit Lahia, termasuk kematian 4 orang; dua kanak-kanak bersama ibu bapa mereka, berlaku hanya sehari sebelum ulang tahun 9/11.
Keadaan itu kembali menimbulkan perhatian terhadap nasib orang awam di kawasan konflik, khususnya ketika gencatan senjata masih belum menjamin keselamatan sepenuhnya di Gaza.
Pada 11 September ini, ketika satu tragedi yang berlaku 25 tahun lalu terus diperingati, Gaza masih berdepan serangan, kematian dan krisis kemanusiaan yang belum berakhir.
Sumber AP News & Qatar News Agency