Detik Hitam 57 Tahun Al-Aqsa Dibakar, Al-Quds Masih Terjajah — Anak Gaza Melawan Kebuluran

BERITA DUNIA | 20 AUG 2026

Jika pada 1969 api membakar sebahagian daripada Al-Aqsa, hari ini krisis kemanusiaan pula sedang menghakis kesihatan dan tumbesaran generasi kanak-kanak Palestin.

GAZA — Esok, 21 Ogos 2026, genap 57 tahun sejak Masjid Al-Aqsa menjadi sasaran pembakaran dalam satu tragedi yang menggemparkan dunia Islam dan menjadikan Al-Quds semakin kukuh sebagai simbol perjuangan Palestin.

Pada 21 Ogos 1969, Denis Michael Rohan, seorang warga Australia, membakar bahagian dalam Masjid Al-Aqsa. Kebakaran tersebut menyebabkan kerosakan besar pada bangunan masjid dan memusnahkan Mimbar Nuruddin Zinki antara peninggalan bersejarah yang terdapat di dalamnya.

Namun, 57 tahun selepas tragedi itu, persoalan Al-Quds dan Palestin masih belum berakhir.

Hari ini, bentuk penderitaan yang dihadapi rakyat Palestin mungkin berbeza, tetapi kesannya terus dirasai, khususnya oleh generasi kanak-kanak di Gaza.

Lebih 1.4 juta penduduk Gaza, atau sekitar 67 peratus populasi, diunjurkan berdepan tahap ketidakjaminan makanan akut taha IPC Fasa 3 atau lebih buruk bagi tempoh Julai hingga Disember 2026.

Lebih membimbangkan, hampir 101,000 kanak-kanak berusia 6 hingga 59 bulan diunjurkan mengalami malnutrisi akut dan memerlukan rawatan menjelang pertengahan Oktober, termasuk lebih 31,000 kanak-kanak yang dijangka mengalami malnutrisi akut teruk.

Angka tersebut menggambarkan bahawa krisis makanan di Gaza bukan sekadar persoalan kekurangan bekalan, tetapi turut menjadi ancaman langsung terhadap tumbesaran, kesihatan dan kelangsungan hidup generasi paling muda.

Pada 16 Ogos, lebih 3,679 tan bantuan kemanusiaan dilaporkan dihantar ke Gaza melalui konvoi ke-257 Bulan Sabit Merah Mesir. Namun, penghantaran bantuan dalam jumlah besar tidak semestinya menjamin setiap keluarga, bayi dan kanak-kanak mendapat bekalan makanan yang mencukupi secara konsisten.

57 tahun selepas api membakar Al-Aqsa, anak-anak Gaza masih membayar harga sebuah Palestin yang belum merdeka — kali ini dengan kelaparan dan malnutrisi.

Jika pada 1969 api membakar sebahagian daripada Al-Aqsa, hari ini krisis kemanusiaan pula sedang menghakis kesihatan dan tumbesaran generasi kanak-kanak Palestin.

Al-Quds bukan sekadar persoalan sebuah kota atau sebuah masjid. Ia berkait dengan hak, maruah dan kelangsungan hidup rakyat Palestin yang telah berdepan konflik dan pendudukan selama beberapa dekad.

Esok, genap 57 tahun sejak tragedi pembakaran Al-Aqsa.

Namun selepas hampir enam dekad, persoalan Palestin masih belum selesai.

Dan di Gaza, perjuangan itu kini turut dihitung melalui satu persoalan paling asas:

Adakah seorang anak Palestin masih mempunyai harapan untuk mendapatkan makanan yang cukup dan terus hidup serta membesar dengan selamat?

Rujukan:
1) Institute for Palestine Studies
2) Integrated Food Security Phase Classification (IPC)
3) Egyptian Red Crescent

Disiarkan Oleh: Digital Harmoni Prihatin Malaysia