GAZA, 13 Ogos 2026 — Krisis bekalan air bersih di Gaza semakin membimbangkan ketika cuaca panas memuncak menjelang Oktober ini. Ini menambah tekanan terhadap penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan kini bergantung kepada khemah serta penempatan sementara.
Keadaan itu meningkatkan risiko dehidrasi, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas dan golongan yang tinggal dalam keadaan perlindungan yang tidak mencukupi.
Laporan Kementerian Pembangunan Sosial Palestin menunjukkan suhu dalam khemah di kem pelarian (IDP) boleh melebihi 45 darjah Celsius, apabila keadaan khemah begitu daif, malah sifat bahan kanvas serta plastik tersebut memerangkap haba. Keadaan tersebut menjadi lebih sukar bagi keluarga yang tidak mempunyai bekalan elektrik, kipas atau akses air yang mencukupi.
Menurut data UNICEF, sekitar 82 peratus keluarga di Gaza berada dalam keadaan tidak selamat dari segi bekalan air, manakala sehingga 70 peratus tidak memperoleh sekurang-kurangnya enam liter air bagi setiap orang sehari untuk minum dan memasak.
Kekurangan tersebut berlaku ketika lebih 90 peratus infrastruktur air dan sanitasi di Gaza mengalami kerosakan atau kemusnahan, menyebabkan keupayaan sistem bekalan air awam terus terjejas. Kekurangan bahan api, alat ganti dan kemudahan operasi turut menjejaskan usaha untuk memulihkan perkhidmatan air.
Suhu tinggi meningkatkan risiko kesihatan
Peningkatan suhu musim panas menambah keperluan penduduk terhadap air, namun sebahagian besar keluarga masih bergantung kepada sumber air yang terhad dan penghantaran menggunakan lori tangki.
Laporan antarabangsa pada Julai lalu merekodkan suhu sekitar 34 darjah Celsius pada waktu tengah hari di Gaza, ketika sebahagian keluarga dilaporkan hanya menerima bekalan air sekali setiap tiga hari.
Keadaan tersebut meningkatkan risiko dehidrasi, khususnya kepada kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal dan terpaksa tinggal dalam kawasan penempatan yang padat.
Kekurangan air bersih turut menjejaskan amalan kebersihan dan sanitasi, sekali gus meningkatkan risiko penyakit berkaitan air dan persekitaran.
Serangan turut meninggalkan kesan haba ekstrem
Selain tekanan akibat cuaca panas, penduduk Gaza turut berdepan kesan kemusnahan akibat serangan bersenjata yang berterusan sepanjang konflik.
Menurut Al Jazeera, beberapa jenis munisi termal dan termobarik telah digunakan dalam serangan di Gaza. Menurut laporan tersebut, sesetengah munisi yang dianalisis boleh menghasilkan suhu pembakaran sehingga sekitar 3,500 darjah Celsius ketika letupan.
Penggunaan munisi yang menghasilkan haba dan tekanan tinggi turut menjadi perhatian kerana kesannya berlaku dalam kawasan yang padat dengan penduduk dan mempunyai kemudahan perlindungan yang begitu terhad serta sesak.
Krisis air berlaku ketika sistem asas terus terjejas
Kerosakan infrastruktur air dan sanitasi menyebabkan penduduk semakin bergantung kepada sumber alternatif, termasuk telaga, loji penyahgaraman dan penghantaran air menggunakan lori.
Namun, kapasiti sumber tersebut masih terhad berbanding keperluan penduduk.
UNICEF sebelum ini memberi amaran bahawa kekurangan air bersih dan kemerosotan sistem sanitasi meningkatkan risiko dehidrasi serta penyakit bawaan air, dengan kanak-kanak antara golongan paling terdedah.
Dengan musim panas yang berterusan, keadaan bekalan air menjadi semakin kritikal kerana peningkatan suhu secara langsung meningkatkan keperluan manusia terhadap air.
Keadaan di Gaza kini memperlihatkan pertindihan beberapa faktor risiko; cuaca panas, tempat perlindungan yang begitu daif, kekurangan air bersih, kemusnahan infrastruktur dan kesan berterusan konflik yang memberi tekanan besar kepada kehidupan penduduk, khususnya kanak-kanak dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
Sumber: United Nations, Al Jazeera dan Kementerian Pembangunan Sosial Palestin